Friday 4 July 2014

7 Tips Menggalakkan Anak-anak Berpuasa

Alhamdulillah....Ramadhan tiba lagi.Debar-debar keseronokannya telah mula dirasai sejak beberapa minggu kebelakangan ini.Tapi bagaimana kita sebagai ibu bapa ingin menggalakkan anak-anak berpuasa,terutama sekiranya ini merupakan Ramadhan pertama yang disedari oleh si kecil?

Mari kita sama-sama kongsi beberapa tips membantu si kecil menghadapi Ramadhan, penghulu segala bulan.

1. Bercerita tentang keberkatan Ramadhan  
Langkah pertama ialah mula bercerita dan berbual dengan anak tentang bulan Ramadhan yang akan tiba.Sebaik-baiknya boleh dimulakan di bulan Syaaban, 2-3 minggu sebelum Ramadhan.

Boleh juga mula bercerita kepada anak kecil seusia 3-4 tahun walaupun mereka belum mula berlatih puasa pada tahun iu.Ini agar mereka sama-sama dapat berkongsi keistimewaan Ramadhan,bilamana melihat orang lebih tua bergembira semasa berbuka puasa dan berhari raya setelah sebulan berjaya berpuasa.Ceritakan juga cara menghormati orang lain yang berpuasa dengan tidak makan dan minum di depan mereka serta tidak mengganggu ketika mereka bersolat terawih pada malamnya. 

Seawal usia 5-6 tahun,anak-anak sudah boleh berpuasa secara sedikit demi sedikit.Tetapi jangan risau,ada yang lebih cepat dan ada yang lebih lewat kesedaran mereka.Ini bukan pertandingan dengan anak orang lain mahupun abang kakak mereka.Mulakan latihan bila anak sendiri ada keinginan atau sekurang-kurangnya tiada penentangan untuk berpuasa.

2. Berikan galakan bukan paksaan  
Anak-anak kecil belum pun wajib puasa ke atas mereka jadi jangan paksa.Tubuh mereka belum boleh menahan lapar dan dahaga dengan mudah seperti orang dewasa.

Mulakan dengan tempoh berpuasa yang sedikit di awal Ramadhan dan membenarkannya berbuka pada waktu azan Zohor atau selepas sekolah atau sehingga waktu makan tengahari.Gunakan satu penanda masa yang jelas untuk membolehkan si kecil mengagak waktu berbukanya.Kemudian perlahan-lahan panjangkan tempoh sehingga ke waktu azan Asar,misalnya dan ke waktu azan Magrib di akhir Ramadhan sekiranya mampu.

Berikan galakan dan sokongan untuk setiap hari,walaupun tempohnya berkurangan atau tidak berubah dari semalam.Yang penting di sini, bukan tempohnya tetapi kesungguhannya dalam menahan lapar dan dahaga.

3. Sediakan Jadual Ramadhan  
Sebaik-baiknya sediakan jadual Ramadhan yang mudah dan menarik agar si kecil boleh melihat pertambahan jumlah hari puasanya.Kiranya juga puasa setengah hari dan boleh dikira setengah hari campur setengah hari sama dengan satu hari berpuasa penuh.Kiraan puasa anak-anak tidak perlu begitu tepat.

4. Pastikan mereka bersahur   
 Perlukan kejutkan anak untuk bersahur.Ada juga anak-anak bangun makan semata-mata untuk merasai nikmat makan pada awal pagi walaupun mereka hanya makan sedikit.Sekiranya mereka tidak mampu untuk makan makanan berat paling kurang mereka makan makanan yang berkhasiat dan boleh mengenyangkan.Jangan paksa mereka untuk makan jika mereka tidak mahu, minum jus buah atau susu sahaja juga boleh membantu.

Bagi anak-anak yang tidak bangun sahur,sahur juga boleh dilakukan semasa mereka bangun pagi iaitu semasa waktu sarapan pagi seperti biasa tapi tegaskan itu waktu sahur dan harus berpuasa.

5. Pujuklah dengan lemah lembut
Berpuasa memang agak sukar untuk anak-anak kecil yang baru mencuba kerana sifat mereka tidak sabar menunggu keinginan mereka dipenuhi.Lebih-lebih lagi keinginan fizikal seperti makan dan minum yang selalunya kita selalunya kita sebagai ibu bapa akan cepat sempurnakan.

Namun dalam hal berpuasa,ibu bapa harus melihat lebih jauh ke hadapan dan berazam untuk mendidik anak-anak dari kecil.Pujuklah mereka dengan baik dan lemah lembut apabila mereka mula merengek dan menangis ingin berbuka puasa.

Dalam masa yang sama,janganlah terlalu tegas dengan mereka sehingga akhirnya hilang keseronokan berpuasa.Harus diingat,berpuasa bukanlan satu "pertandingan" dengan anak kawan-kawan ibu bapa atau saudara -mara,jagi jangan terlalu berkeras ingin anak meneruskan puasa mereka.Sekiranya mereka tidak larat berpuasa benarkan mereka berbuka. 

6. Raikan mereka semasa berbuka puasa
Sesungguhnya masa berbuka adalah masa yang ditunggu-tunggu apatah lagi untuk si anak kecil yang baru mula belajar berpuasa.Raikan mereka semasa menyediakan hidangan berbuka dengan memilih makanan kegemaran mereka.

 Semasa menikmati makan berbuka, katakan kepada mereka betapa Allah s.w.t sayang kepada orang yang berpuasa ini kerana nikmat semasa berpuasa adalah tidak terkata. 

7. Kemenangan semasa Aidilfitri
Setelah sebulan berpuasa,Hari Raya memang dinanti-nanti.Buat anak-anak kecil yang baru belajar berpuasa.1 Syawal lebih bermakna kerana mereka juga sama merasa perit lelah berjuang menahan diri semasa berpuasa.

Ambil sedikit masa di tengah-tengah kesibukan berhari raya bersama anak-anak untuk mengimbau semula pencapaian mereka semasa Ramadhan.Puji mereka atas usaha mereka mencuba untuk berpuasa.Berikan hadiah istimewa untuk usaha mereka agar mereka merasa dihargai.

Semoga dengan tips yang dikongsi kita dapat mendidik anak-anak untuk meraikan Ramadhan bulan yang mulia.Selamat Berpuasa!!!

1 comment:

  1. Terima kasih sebab berkongsi... Boleh dimanfaatkan dan saya share ye..

    ReplyDelete